Wednesday, August 29, 2012

Piala Malaysia- Analisis Perlawanan Ketiga

                       Piala peninggalan British yang menjadi rebutan semua pasukan bolasepak di Malaysia.


Salam satu Malaysia, salam Janji Ditepati dan salam Piala Malaysia dari saya Deusry not Shebby untuk anda semua pembaca SokerLeaks yang disayangi dan dibenci. Seperti yang kita sudah maklum, sekarang sedang berlangsungnya kejohanan bolasepak yang terunggul di Malaysia iaitu Piala Malaysia. Bagi yang tidak tahu tu, ada dua kemungkinan saja yang menyebabkan anda tidak tahu. Sama ada anda hanya layan EPL sahaja atau pun anda hanya sibuk dengan bola Malaysia semasa Harimau Malaya bermain sahaja. Ok abaikan tentang perkara itu dulu, kita cerita di kemudian hari bila ada masa.

Piala Malaysia sudah memasuki perlawanan ketiga peringkat kumpulan, dan pada ketika ini bayang-bayang pasukan yang akan mara ke suku akhir dan pasukan yang akan menamatkan musim ini lebih awal sudah mula kelihatan. Aksi Piala Malaysia seperti biasa menampilkan banyak kejutan yang tidak diduga. Pasukan yang tidak konsisten di peringkat liga tiba-tiba menampilkan persembahan menakjubkan bila beraksi di Piala Malaysia. Pemain yang sering menjadi pilihan untuk beraksi cemerlang dan menjaringkan banyak gol tiba-tiba beraksi di bawah keupayaan sebenar. Pemain yang sebelum ini kurang dikenali di saingan liga tetapi selepas dipinjamkan ke pasukan lain tiba-tiba menunjukkan aksi mengagumkan. Jadi, siapa kata Piala Malaysia tidak mendebarkan dan tiada unsur-unsur komersial? 

Kumpulan A

Kumpulan yang dihuni tiga pasukan dari Selatan tanah air iaitu Johor, Johor Fc dan Lions XII serta pasukan yang disokong oleh antara pemaju perumahan terunggul di Malaysia iaitu PKNS FC. Perlawanan semalam menyaksikan pertembungan di antara Johor dan Lions XII di Larkin, sementara di Petaling Jaya PKNS FC melayan kunjungan Johor FC. Jika suatu ketika dulu, pertembungan di antara Johor dan Singapura antara yang dinanti-nantikan oleh peminat bolasepak di selatan tanah air, tetapi berbeza dengan sekarang. Stadium Larkin tidak semeriah dan serancak semasa zaman kegemilangan 90-an dulu,.Mungkin dengan keputusan seri 0-0, para peminat di sana merasakan mereka membuat keputusan yang tepat dengan tidak datang ke stadium. 

Manakala di Petaling Jaya pula, PKNS dan Johor FC sekadar seri 1-1. Dengan keputusan perlawanan semalam, Lions dan Johor FC kekal di tangga teratas dengan 5 mata, manakala Johor dan PKNS masih mengekori dengan masing-masing 2 mata. 

Kumpulan B

Kumpulan yang dikatakan sebagai kumpulan maut dalam Piala Malaysia kali ini. Saingan semalam di antara Kedah dan Terengganu manakala juara Liga Perdana, ATM melayan kunjungan juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan di Selayang. Terengganu masih gagal menamatkan badi kekalahan dengan Kedah semenjak 2008 apabila tewas 2-1 di Alor Star. Dua jaringan Khyrill Muhymeen cukup untuk memberikan kemenangan pertama buat Kedah selepas tewas dalam dua perlawanan awal sebelum ini. Manakala Terengganu terpaksa berpuas hati dengan jaringan tunggal dari Abdul Hadi Yahya.

Di Selayang pula lain ceritanya. Kedua-dua pasukan iaitu Kelantan dan ATM sekadar seri 1-1. Namun, insiden membaling botol ke trek dan kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong Kelantan lebih menjadi perbualan hangat berbanding keputusan perlawanan. Insiden yang menyebabkan perlawanan terhenti lebih 10 minit ternyata sungguh memalukan, apatah lagi perlawanan tersebut disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Tapi macam biasa lah kan, semua sudah faham dengan gelagat penyokong Kelantan bukan?

Selepas perlawanan ketiga semalam, ATM menerajui kumpulan B dengan 7 mata, diikuti Kelantan dengan 4 mata. Terengganu dan Kedah pula berkongsi 3 mata, cuma dibezakan dengan jaringan gol. Siapakah yang akan melepasi kumpulan maut ini? Kita nantikan saingan pusingan kedua pula untuk mengetahui jawapannya.

Kumpulan C

Di kumpulan C pula, berlangsung pertembungan di antara Negeri Sembilan dan Perak di Paroi manakala dua pasukan kelab iaitu Felda United dan Sime Darby bertembung di Melaka. Perlawanan di Paroi menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar seri tanpa jaringan. Namun, sama seperti di Selayang, berlaku kekecohan pada separuh masa pertama sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan seketika dan FRU dikerah masuk bagi mengawal keadaan. 

Manakala di Melaka, Sime Darby mencatatkan kemenangan pertama apabila menewaskan Felda United 3-2. Selepas perlawanan semalam, Negeri Sembilan mendahului kumpulan dengan 5 mata diikuti rapat oleh Felda dan Sime Darby yang masing-masing berkongsi 4 mata. Manakala Perak di tangga terbawah dengan 2 mata dan masih gagal mencatatkan kemenangan. Ater, Yob?

Kumpulan D

Kumpulan yang mengandungi juara 32 kali Piala Malaysia iaitu Selangor, naib juara Liga Perdana iaitu Pahang dan juga Sarawak serta T-Team. Pahang yang kembali beraksi di Piala Malaysia setelah tercicir pada kempen tahun lalu membelasah Sarawak 6-0 dalam perlawanan di Kuantan semalam. Jenis bersungguh-sungguh semasa peringkat kumpulan ini payah juga sebenarnya. 

Manakala Selangor dengan tenangnya tidak memerlukan banyak gol untuk memastikan kemenangan ke atas T-Team di Kuala Terengganu. Jaringan penalti dari Safiq Rahim memastikan Misi 33 Selangor berterusan dalam perlawanan yang berlangsung dalam hujan. Selepas tamat tiga perlawanan, Pahang mendahului kumpulan dengan 7 mata, diikuti Sarawak dan Selangor yang berkongsi 4 mata. Manakala T-Team di tangga tercorot dengan 1 mata. 


Setelah tamat tiga perlawanan, Deusry Not Shebby meramalkan semua pasukan masih berpeluang untuk melayakkan diri ke suku akhir.  Secara matematiknya, semua pasukan berpeluang dengan syarat perlu mengumpul mata maksimum pada baki tiga perlawanan selepas ini. Tapi mungkin ada kejutan di mana beberapa pasukan pilihan mungkin tersingkir awal di saingan kumpulan.

Itu sahaja untuk analisis bagi perlawanan ketiga. Jangan lupa sertai perbincangan #ERAPialaMalaysia2012 di laman facebook kami atau pun di twitter. Akhir kata, saya sudahi dengan ayat tipikal bolasepak Malaysia iaitu "Sokonglah Bolasepak Malaysia" dan "Jangan lupa ke stadium berhampiran anda".

5 comments:

Najmi Hayat Bin Abd Malek said...
This comment has been removed by the author.
gergasimalaya said...

Semoga tamatlah misi 33 Selangor power....

This comment also will remove by the author.

talkIZcheap! said...

ada satu lagi sebab kenapa anda tak layan Piala Malaysia, sebab team anda adalah Melaka dan anda lebih gemar barca sebab ikut aliran Mainstream dan obses dalam membenci Man Utd, juga mengikut aliran mainstream... :p

talkIZcheap! said...

owh wow!! Great journalism, insiden membabitkan Kelantan diulas dalam satu perenggan penuh manakala yang membabitkan Negeri sembilan dan Perak cuma 2,3 baris sahaja?

Walaupun dalam kes Kelantan tiada FRU terlibat dan dengar kata game NS - Perak hampir-hampir ditunda...

Tahniah!

mirul said...

ada pasukan tu tiap tiap tahun sembang misi 33.menangnye tak jugak.
lawn tim liga perdana kat tempat sendiri pun nasib tak kalah

perangai dah serupa liverpool.