Friday, September 28, 2012

Tribute kepada Raja Bola Malaysia TS Abdul Ghani Minhat





Pagi ini kita dikejutkan dengan berita pemergian lagenda bola sepak negara, Tan Sri Abdul Ghani Minhat yang juga dikenali sebagai Raja Bola Malaysia. Untuk itu, izinkan aku menulis satu post sebagai tribute kepada Allahyarham walaupun tak seberapa.

Bagi yang tak kenal, Allahyarham TS Abdul Ghani Minhat adalah antara penyerang yang digeruni di serata Asia pada zaman kemuncak beliau. Beliau mewakili Selangor dari tahun 1955-1968 dan menjaringkan banyak gol. Allahyarham mewakili Harimau Malaya dari tahun 1956-1963. Penampilan pertama beliau bersama Harimau Malaya sangat menakjubkan apabila menjaringkan 7 gol dalam perlawanan menentang Kemboja dimana kita menang 9-2. Beliau juga memegang rekod sebagai pemain Selangor yang menjaringkan gol terbanyak dalam satu perlawanan (kekal hingga ke hari ni) apabila menjaringkan sembilan gol dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan pada tahun 1960 dan menjadikan rekod beliau ketika itu 34 gol dalam 9 perlawanan. Itu namanya Legend.

Rekod Allahyarham sebagai pemain adalah menjuarai Pesta Bola Merdeka (1958,1959 dan 1960), Pingat Emas Sukan SEAP 1961, Pingat gangsa Sukan Asia 1962 dan tempat ke-2 kejohanan Kelab Asia 1967 bersama Selangor (Tewas kepada Hapoel Tel-Aviv dari Israel).

Pada tahun 1963, Ghani bersama skuad Selangor menjaringkan 106 gol dalam hanya 15 perlawanan termasuk rekod jaringan bola sepak Malaysia yang kekal ke hari ini iaitu menang 18-0 menewaskan Terengganu (Rekod sebelumnya dipegang Kelantan yang menewaskan Pahang 16-1 pada 1962 hasil 8 jaringan Mohamad Che Su). Dia kemudiannya menjaringkan 4 gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menewaskan Pulau Pinang dengan jaringan 6-2.

Gelaran Raja Bola sebenarnya diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor, tapi kerana kehebatan beliau, ia digunapakai oleh semua orang apabila bercakap mengenai Allahyarham. Sememangnya beliau merupakan lagenda dalam bola sepak Malaysia. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan kepada negara kerana beliau juga antara yang lantang bersuara mengenai bola sepak Malaysia. Kami di Sokerleaks mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.


3 comments:

Ahmad Jedeh said...

106 gol dalam 15 perlawanan?

mini me said...

15 gol satu perlawanan kot

Mohammad Syukri Badaruddin said...

106/15... kalah messi dan ronaldo ni...