Showing posts with label ultras malaya. Show all posts
Showing posts with label ultras malaya. Show all posts

Monday, November 28, 2011

Kebangkitan : Kita Tidak Mahu Ulangi Kesilapan

Kekalahan Harimau Muda ditangan Bahrain sebenarnya mengingatkan penulis pada perlawanan final Piala Konfederasi yang menemukan Amerika Syarikat dan Brazil tahun 2009 lepas. Sewaktu itu, Amerika Syarikat cukup gah meniti jalan ke final setelah berjaya menumbangkan juara Eropah yang digeruni lain tak bukan Sepanyol dengan jaringan 2-0.

Sewaktu final menemukan Amerika Syarikat dan Brazil, adalah satu kejutan apabila Amerika Syarikat mendahului 2-0 sewaktu separuh masa pertama lagi. Cakap-cakap di sewaktu rehat meyakinkan ramai penonton bahkan peminat bola sepak Amerika sendiri tentang mereka akan menang perlawanan final ini, menewaskan Brazil.

Namun, segalanya musnah apabila Brazil bangkit dengan bergaya untuk mencatatkan kemenangan, mencetak 3 gol di separuh masa kedua untuk menang 3-2 sekaligus menjadi juara Piala Konfederasi.

Skrip yang sama juga penulis teringat pada Sukan Asia 1998, jika kalian masih ingat bagaimana Thailand, jiran negara kita layak ke separuh akhir dengan bergaya apabila berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1 walaupun Thailand bermain dengan 9 orang. Ya, 9 orang. Menewaskan antara pasukan terkuat di Asia sewaktu itu.

Negara kita juga pernah mengulangi gaya kebangkitan dalam permainan bola sepak. Ingatkah sewaktu Piala Tiger 2004 sewaktu Harimau Malaya menewaskan Thailand 2-1 saat Malaysia itu ketinggalan 1-0 di babak pertama? Namun Harimau Malaya berjaya bangkit setelah mendapat sorakan lagu Inilah Barisan Kita dari peminat setia yang akhirnya memberi satu kebangkitan sehingga Malaysia menang 2-1 hasil jaringan Khalid Jamlus.

Istilah kebangkitan dalam bola sepak bukanlah suatu yang mustahil. Natijahnya, mana-mana negara mampu melakukan kejutan kebangkitan di mana saja dan pada keadaan apa sekalipun. Tidak kiralah bermain tidak cukup pemain atau ragam pengadil yang berat sebelah. Manchester United sendiri pernah bangkit pada saat terakhir permainan untuk menewaskan Bayern Munich. Liverpool juga pernah bangkit untuk menjadi juara setelah ketinggalan dengan AC Milan.

Siapa yang berjaya bangkit, dia berhak merai kegembiraan. Siapa yang menjadi mangsa kebangkitan, tangisan kedengaran.

Namun, apa yang ingin penulis sampaikan di sini ialah mengenai after-math selepas perlawanan. Kebangkitan Bahrain bukanlah perkara kebetulan. Bukan perkara ajaib. Tetapi, melalui pengamatan penulis melihat corak permainan Bahrain. Bagi penulis, Bahrain berhak menang. Melihat latihan sewaktu sebelum perlawanan bermula sudah cukup untuk penulis rumuskan tentang taktikal Bahrain dalam menentang Harimau Malaya. Bahrain bagi penulis telah menganalisa corak permainan Harimau Muda terlebih dahulu dan mendapati pasukan Harimau Malaya terlalu confident untuk menang. 

Bahrain tidak gentar dengan ribuan penyokong Harimau Muda di stadium. Malah mereka sendiri berterima kasih terhadap para penyokong Malaysia yang kekal di stadium memberi sorakan. Bagi Bahrain, sorakan penyokong lawan juga akan merancakkan permainan. 



Itulah gunanya Ultras Malaya. Bukan sekadar penyokong tegar pasukan kebangsaan, tetapi penyemarak sesuatu perlawanan bola sepak. Amalan ini (chant Ultras Malaya) bagi penulis selain dari sikap patriotisma, tetapi juga dapat membuka mata pihak lawan tentang sikap penonton bola sepak di Malaysia yang sudah terbuka dan bukan menjadi orang yang gagal dalam menyokong bola sepak.

Sudah berpuluh tahun lepas cara sokongan terhadap bola sepak kita tergolong dalam cara yang tidak memberikan perkembangan baik dalam bola sepak kebangsaan. Bagi penulis, zaman lepas, zaman Malaysia layak ke Olimpik, zaman Malaysia menang pingat gangsa Sukan Asia, adalah zaman sokongan bola sepak yang sudah tidak boleh digunapakai dalam era bola sepak moden. Menggunakan cara generasi yang lama dalam memberi sokongan kepada bola sepak kebangsaan adalah tidak releven. Kita mahukan cara moden seperti sokongan Be The Reds dalam kempen Korea Selatan di Piala Dunia sebagai contoh. Yalah, kalau generasi lama itu adalah generasi berjaya dalam menyokong pasukan bola sepak kebangsaan, mungkin kita sudah lama ke Piala Dunia. Mungkin takkan ada terbitnya buku Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia.

Zaman gagal sudah berlalu. Zaman abah, datuk moyang kita telah tamat. Kini, adalah zaman anak muda, zaman kita yang tidak mahu mengulangi kesilapan dalam menyokong bola sepak kebangsaan secara khususnya. Zaman anak muda yang mahu meninggalkan tabiat makan kuaci sambil memaki di dalam stadium. Zaman anak muda yang tidak lagi mahu keluar awal dari stadium walaupun sudah tahu pasukan bola sepaknya pasti kalah. Zaman yang mahu mengajak seluruh rakyat lebih bersikap patriotisma melalui bola sepak kerana tidak semua antara kita layak menjadi seorang tentera. 

This is a new age of Malaysian football supporters. Ini adalah zaman penyokong berdiri 90 minit bersorak, chant dan menyanyi lagu yang menaikkan semangat, seakan merasai kepenatan pemain bola di atas padang. Jujur penulis katakan, walaupun kalah, tetapi kerana telah memberi sumbangan berupa berdiri 90 minit menyanyikan lagu semangat, perasaan kalah itu tidak sepedih sepertimana cara yang lama. Jika anda tidak percaya, terpulang. 

Kita mahukan FAM gentar dengan kuasa penyokong. Dan bagi penulis, Ultras Malaya adalah satu-satunya jalan yang akan merintis dalam melakukan perubahan terhadap badan induk tersebut secara positif. Kalian ingat FAM akan peduli dengan penyokong kuat maki makan kuaci tiup air-horn macam babi? Kita tidak mahu terus menjadi orang yang gagal seperti orang terdahulu. Lebih baik kecewa dengan kepasrahan, dari kecewa sambil mengeluarkan kata makian. Setelah 50 tahun dengan cara yang gagal dalam menyokong bola sepak, apakah kita akan terus gagal lagi?